Langkah-langkah untuk menggalakkan kitar semula

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan kitar semula. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Malaysia dianggarkan menghasilkan sebanyak 15 000 tan sampah dalam sehari. Jumlah ini dijangka akan meningkat pada kadar dua peratus pada setiap tahun. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan program kitar semula sebagai satu cara mengelakkan pembaziran wang dan tenaga kerja yang banyak untuk menguruskan sampah yang semakin banyak.

Selaras dengan pelancaran tersebut, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah meletakkan tong-tong kitar semula di tempat-tempat yang sesuai seperti di kompleks beli-belah, sekolah dan pusat perniagaan. Setiap set tong kitar semula terdiri daripada tiga buah tong iaitu tong coklat untuk bahan-bahan kaca, tong biru untuk kertas, serta tong jingga untuk plastik dan logam. Selain dapat mengurangkan jumlah tapak pelupusan sampah, program kitar semula juga bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat.

Apabila tong-tong kitar semula itu penuh, bahan-bahan yang terkumpul akan dibawa ke pusat pengumpulan barang terpakai. Barangan kitar semula yang dibawa akan dinilai dan pusat pengumpulan akan memberikan bayaran kepada syarikat yang membawanya. Pengguna yang membawa barangan terpakai terus ke pusat pengumpulan akan mendapat bayaran yang berpatutan juga. Sehubungan itu, kerajaan telah menawarkan beberapa galakan yang lain seperti pengecualian cukai bagi mesin dan peralatan yang digunakan untuk kitar semula.

Selain pihak kerajaan, pihak swasta digalakkan turut serta dalam rangkaian aktiviti kitar semula. Misalnya, mereka menggalakkan pekilang-pekilang menggunakan bahan kitar semula sebagai asas dalam pembuatan produk mereka. Dalam hal ini, negara dapat juga menjimatkan penggunaan bahan mentah.

Bahagian A(ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata mengambil langkah dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah matlamat-matlamat program kitar semula? [4 markah]
  3. Program kitar semula di negara tidak mendapat sambutan daripada seluruh masyarakat. Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

#pmr, #ringkasan-dan-pemahaman, #tingkatan-1, #tingkatan-2

Mengapa remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu?

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang mengapa remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu?. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Jika remaja tidak berminat membaca mereka akan ketinggalan tentang perkembangan pesat yang berlaku di dunia pada hari ini. Dunia pada era globalisasi ini adalah bertunjangkan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca, tambahan pula jika mereka hanya membaca bahan bacaan yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahayul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, ilmu mereka tidak akan berkembang.

Remaja perlu membaca bahan-bahan bacaan yang bermutu untuk melatih diri supaya berfikir dan menganalisis. Generasi yang membaca bahan bacaan yang bermutu akan dapat menghasilkan idea-idea yang bermakna untuk diri, masyarakat dan negara. Dalam bahan bacaan yang bermutu terkandung maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja.

Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat, tetapi juga menjadi santapan jiwa.  Bagi mereka, mendapat bahan bacaan yang digemari ibarat mendapat teman yang sangat dikasihi. Kalau remaja rajin membaca bahan bacaan yang bermutu nescaya pada masa hadapan mereka mampu menempa kejayaan dan perubahan yang berguna untuk masyarakat dan negara seperti orang Barat dan Jepun tersebut.

Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil patut didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang bermutu supaya daya pemikiran mereka akan berkembang dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan. Sekiranya remaja membaca bahan bacaan yang tidak bermutu mereka hanya berupaya memikirkan perkara-perkara yang remeh sahaja. Justeru, apabila dewasa mereka tidak akan berupaya menghadapi desakan hidup yang kian mencabar.

Sebagai negara yang sedang menuju tahap negara maju dan berpendapatan tinggi  Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang berminat membaca kerana kemajuan negara banyak bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya supaya kita tidak akan terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan pada era globalisasi yang sedang kita tempuh. Proses memajukan negara harus seimbang dengan darjah kemampuan rakyatnya berfikir.

Bahagian A (ii)

  1. Berikan maksud mampu menempa kemajuan dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah kesan-kesannya sekiranya remaja kita hanya berminat membaca bahan bacaan yang tidak bermutu? [4 markah]
  3. Kebanyakan remaja kita kini kurang gemar membaca. Pada pendapat anda mengapakah  keadaan ini berlaku? [4 markah]

#ringkasan-dan-pemahaman, #tingkatan-1, #tingkatan-2

Cara-cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan remaja. Hal ini telah menggambarkan betapa seriusnya kejadian jenayah dalam kalangan mereka. Segala jenayah ini dapat dibendung melalui pendekatan yang lebih berkesan, misalnya ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan remaja hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara yang baik dan yang buruk.

Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana remaja mudah terpengaruh dengan kawan-kawan mereka, tetapi kini kebanyakan ibu bapa tidak mengambil peduli dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh hiburan melalui media massa juga hendaklah dibendung.

Pihak sekolah pula perlu memantapkan lagi kawalan disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahan. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, mengambil dadah, atau membuli pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Masalah ini sukar dibendung kerana ibu bapa tidak mahu meluangkan masa datang ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal sebelum masalah anak-anak mereka menjadi semakin serius. Malahan, ada juga antara ibu bapa yang sanggup mengambil tindakan undang-undang terhadap guru-guru jika pihak sekolah mengambil tindakan disiplin terhadap anak mereka.

Masalah ini dapat dibendung jika penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketat, tamsilannya remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori sama seperti pesalah dewasa.

Golongan remaja adalah aset negara pada masa depan.  Kita tidak mahu mereka yang mewarisi negara ini terlibat dengan jenayah.  Oleh itu, mereka  haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa melalui kempen-kempen dan perkhemah motivasi supaya mereka mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.

 

Bahagian A (ii) Pemahaman

  1. Berikan maksud mudah terpengaruh dalam petikan? [2 markah]
  2. Mengapakah masalah jenayah dalam kalangan pelajar sukar dibendung? [4 markah]
  3. Kebanyakan masyarakat kita pada masa tidak mahu mengambil peduli tentang masalah remaja di sekitar mereka.  Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

 

#pmr, #ringkasan-dan-pemahaman, #tingkatan-1, #tingkatan-2

Jumlah Minimum Latihan dan Bentuk Soalan Latihan

Bahasa Melayu Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua

Jumlah Minimum Latihan dan Bentuk Soalan Latihan

Bil. Latihan Jumlah 

minimum

Bentuk soalan
1 Penulisan: Karangan Respons Terbuka (KRT)  

10

  1. Pasukan unit beruniform sekolah anda telah mengadakan suatu perkemahan di pinggir hutan.  Selaku setiausaha perkemahan anda dikehendaki menyediakan laporan lengkap tentang perkemahan tersebut.
  2. Minat membaca dalam kalangan remaja begitu rendah sekali. Huraikan pendapat anda  tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk menarik minat membaca dalam kalangan remaja.
2 Karangan Berpandukan Bahan Rangsangan (KBR)  

10

 

Lihat peta minda di bawah dengan teliti.  Huraikan pendapat anda tentang peranan komputer dalam kehidupan manusia.  Panjang huraian anda hendaklah melebihi 120 patah perkataan.

 

3 Ringkasan dan Pemahaman (RP) 7 Ringkasan
Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan pelajar melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan 

Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata penekanan yang sama pentingnya dalam petikan di atas. [2 markah]
  2. Berdasarkan petikan/menurut pengarang nyatakan dua tanggapan negatif ibu bapa terhadap kegiatan kokurikulum? [4 markah]
  3. Pada pandangan anda apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggalakkan para pelajar lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah? [4 markah]
4 Tatabahasa 

 

30  

Isi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai / diberikan

  1. Suhu yang __________sejuk di puncak Gunung Everest memaksa pendakinya memakai baju yang tebal.

Lengkapkan ayat berikut dengan kata sendi nama yang sesuai.

  1. Paras air Sungai Pahang telah naik ……………….paras yang membimbangkan sejak pagi tadi.
  2. Azran belajar _______.Kolej Tun Abdul Razak.
  3. Buat ayat menggunakan  kata bantu berikut
  4. Kejadian pembunuhan sebuah keluarga di kawasan Taman Maluri itu masih menjadi________ kepada masyarakat setempat.

A     tanda mata              C    tanda harga

B     tanda soal                D    tanda tanya

24  Ali gagah oleh,  itu dia digeruni oleh lawannya.

A.  mantap , takuti

B.  sasa, ditakuti

C.  kuat , ngeri

D.  pejal , gerun

Tandakan ( / ) ayat-ayat yang betul dan ( X ) ayat-ayat yang salah serta garis kesalahan tersebut

  1. Dia beransur-ansur untuk menjelaskan hutang pinjaman belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
  2. Demamnya beransur-ansur kebah setelah mendapat rawatan di hospital itu.
  3. Buku yang beransur-ansur bahan pengajaran perlu diberikan kepada golongan remaja.
  4. Setelah tamat waktu bertugas, kakitangan di pejabat itu beransur-ansur pulang ke rumah.
  5. Dia membeli tiga batang aiskrim daripada penjaja yang lalu di hadapan rumahnya.

 

Komponen Sastera
5 Novel: Wira Pesona Avatari 10
  1. Berdasarkan novel yang telah anda kaji di Tingkatan 2, huraikan persoalan dengan mengemukan contoh yang sesuai seperti yang terpapar dalam novel berkenaan.
  2. Hormat.menghormati. Perasaan ini terpancar menerusi watak ………… yang menghormati bapanya.
  3. ……… dan ……….. sering mengulang kaji pelajaran dengan ………

 

6 Antologi Gema Sepi Gadis Genius 25
  1. Apakah hubungan Tuanku Malim Deman dengan Tuanku Gombang Malim Dewa?

A    Anak          C    Abang

B    Sepupu      D    Bapa saudara

  1. Baris Sekalipun isinya hanya berita kecil bermaksud bahawa……….
  2. Tema yang paling sesuai dengan cerita ini ialah…………

 

Jumlah Latihan 92

#tingkatan-1, #tingkatan-2

Sukar Membawa Tuah

Tema :

Kegigihan remaja orang Asli mendapatkan ilmu untuk mengubah kehidupan dan pekerjaan tradisi keluarganya.

Persoalan :

1. Sikap masyarakat orang Asli yang kurang mementingkan pendidikan.

2. Kemiskinan masyarakat pedalaman yang hanya bergantung pada hasil alam sebagai sumber pendapatan.

3. Kepentingan sikap saling membantu yang patut diamalkan tanpa tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.

4. Kepercayaan kepada mistik, kuasa jahat dan pawang yang masih tebal dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Watak dan perwatakan :

1. Watak Utama: Adit : Anak Pak Katan, berusia 10 tahun, berbadan kurus, bersemangat kuat, sangat rajin, menghormati orang tua, suka membantu, berani dan berfikiran luas.

Watak Sampingan

2. Pak Katan : Ayah Adit, berusia, kuat dan rajin berusaha, mengambil berat terhadap anaknya.

3. Mak Tawi : Ibu Adit, isteri Pak Katan, rajin, mengambil berat terhadap anaknya.

4. Akeh : Kawan baik Adit, bersekolah dan tinggal di asrama, pengawas, bercita-cita tinggi.

5. Tijah : anak Tok Batin, cantik, bijak dan matang.

6. Ah Tong : Penyelia pekerja balak, suka membantu.

Latar Tempat :

  1. Kampung Bakai, Bukit Lokan.
  2. Rumah Pak Katan
  3. Tepi sungai
  4. Hutan
  5. Di dalam gaung.
  6. Sekolah

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat yang kurang mementingkan pendidikan.
  2. Masyarakat orang Asli yang percaya kepada alam mistik seperti roh jahat.
  3. Masyarakat orang Asli yang bergantung pada hasil hutan.
  4. Masyarakat orang Asli yang sudah semakin terbuka minda mereka.

Nilai

  1. Kasih sayang
  2. Kerajinan
  3. Bekerjasama
  4. Tolong-menolong
  5. Bercita-cita tinggi

SINOPSIS BAB 1 – NOVEL SUKAR MEMBAWA TUAH

Bab 1 – Inilah Dunia Kami

Tatkala sang suria memancarkan sinarnya, Pak Katan sudah bersiap sedia untuk ke hutan bagi memulakan rutinnya mencari rotan di hutan. Adit turut bersama ayahnya mencari rotan di hutan pada pagi itu. Adit sudah lali dengan kerja-kerja mencari rotan dan menyediakan tali untuk mengikat rotan yang dikutip di hutan. Sementara itu, Adit pergi ke sungai terlebih dahulu untuk mengangkat belat yang dipasang oleh ayahnya dengan harapan belat mereka mendapat banyak ikan. Nasib menyebelahinya kerana belat yang dipasang dipenuhi dengan ikan-ikan yang terlekat. Dia meletakkan kembali belat tersebut lalu mendayung sampannya pulang ke rumah, serta bersiap-siap untuk menemani ayahnya ke hutan selepas bersarapan pagi.

Nota:

Bab 1 ini mengisahkan penduduk orang asli kaum Jahut yang tinggal dikawasan hutan di Bukit Lokan. Mereka mengamalkan kepercayaan anemisme yang masih tidak mempunyai agama. Pak Katan ialah ayah kepada Adit. Isterinya Mak Tawi. Mereka tinggal di rumah yang beratapkan rumbia. Mereka menyara diri dengan mengutip hasil hutan seperti rotan, memburu binatang dan bercucuk tanam.

Bab 2 – Rutin Harian Adit Bermula

Adit dan ayah ke hutan. Adit yang berpakaian lusuh tidak menghiraukan keadaannya itu, kerana menyedari kemiskinnya. Mereka mendamar dan mengutip hasil hutan untuk membeli makanan dan keperluan harian, tetapi hasil tersebut tidak mencukupi untuk membeli pakaian baru.

Masyarakat menjual hasil mereka kepada tauke Cina. Tahap pendidikan yang rendah dan kemudahan infastruktur yang sangat menyedihkan menyebabkan kehidupan mereka terhimpit. Pekan yang terhampir dengan mereka jauhnya 30km dari situ, oleh itu barang keperluan hanya diperolehi melalui pekerja balak yang berulang-alik dari kampung mereka ke sana. Agensi kerajaan ada membantu, tetapi mereka selesa di sini.

Masyarakat di situ masih berpegang teguh pada kepercayaan nenek moyang dan sanggup bermati-matian demi warisan hutan nenek moyang mereka. Namun, penerokaan menghimpit kehidupan mereka. Adit tidak bersekolah biarpun sudah berusia hampir 11 tahun, sementelahan ayahnya yang mementingkan ilmu hutan sebagai pendidikan asas kepada Adit.

Akhirnya timbul persoalan dalam benak  Adit tentang kepupusan hasil hutan dan nasib mereka, akan tetapi dinafikan oleh ayahnya yang sedar akan realiti itu. Seraya, Adit teringatkan akan Akeh, satu-satunya rakannya sekolahnya yang tinggal di asrama.  Belanja persekolahan Akeh ditanggung oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Dia Bercita-cita menjadi jurutera dan ingin berbakti kepada masyarakat orang asli.

Minat Adit untuk bersekolah timbul dengan ajakan dan cerita-cerita Akeh, tetapi, tidak dinyatakan kepada ayahnya.

Bab 3 Impian Adit

Bab ini memfokuskan Adit yang terlalu ingin bersekolah. Hasratnya itu akhirnya diluahkan semasa berakit membawa rotan. Namun, permintaannya itu dihalang oleh ayahnya yang masih mementingkan tradisi sedangkan tujuan Adit untuk mengubah nasib keluarganya. Biarpun Pak Katan memahami, tetapi dia mahukan Adit mengikut jejak langkahnya. Pak Katan akhirnya tidak memberi repons terhadap permintaan anaknya itu.

Adit berubah sikap dan Mak Tawi berasa hairan lalu bertanyakan pada Pak Katan. Teknik imbas kembali dalam bab ini ialah Adit teringat akan kedatangan pegawai penerangan dan sikap endah tak endah masyarakat mereka terhadap dasar pembangunan kerajaan.

Mak Tawi cuba memujuk Adit, tetapi Adit sudah lena tertidur. Pada pagi keesokannya , Pak Katan tidak ke hutan, sebaliknya dia ke pekan. Niat Pak Katan ke pekan tidak diketahui kerana dia enggan menjawab pertanyaan Adit.

Bab 4 Dugaan untuk Adit

Adit berurusan dengan tauke Cina yang membeli hasil hutan sebelum memeriksa belat di sungai. Ayah Adit, Pak Katan yang baharu sahaja pulang dari pekan membawa khabar mengenai kemasukannya ke sekolah, namun gagal mendapatkan asrama. Maka timbullah masalah pengangkutankerana jarak sekolah yang jauh dari rumah Adit. Kekecewaan terpancar di wajah Adit. Namun, semasa memenangkan diri di sungai, dia dipujuk oleh Tijah, rakan baiknya, Tijah berjanji untuk berbincang dengan bapanya (Tuk Batin) untuk menyelesaikan masalah Adit.

Hujan lebat malam itu merisaukan Pak Katan.  Dia bimbang tentang hasil hutan dan belat di sungai yang tidak dapat di ambil, ditambah lagi dengan kebuntuannya untuk menyelesaikan masalah Adit, yang pada ketika itu termenung sendiri memikirkan impiannya itu.

Bab 5 Riak ceria buat Adit.

Hujan masih lebat menyebabkan sebahagian rumah terkena tempias. Adit diarah ayahnya untuk mencari guni untuk menutup dinding dan ruang terbuka. Walau bagaimanapun, hujan berhenti pada pagi itu. Rezeki datang tanpa diduga, seekor rusa cedera terbaring di bawah rumah.  Rusa itu dijualnya kepada Ah Tong, penyelia pekerja balak.

Ah Tong agak pelik kerana Adit tidak ke sekolah biarpun sudah mendaftar, namun setelah masalah Adit diterangkan oleh Pak Katan Ah Tong mempelawa Adit menumpang kenderaannya dan Adit begitu gembira dengan bantuan Ah Tong.

Bab 6 Adit mula ke sekolah

Esoknya, Adit mendaftarkan diri dan keperluannya dibeli oleh Pak Katan di pekan. Dia gembira dengan suasana sekolah dan berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh. Setelah pulang, dia memberitahu Tijah mengenainya. Tijah berminat untuk ke sekolah tetapi akur akan kehendak ayahnya yang akan mencarikan jodoh buatnya beberapa tahun kelak. Adit ingin memberitahu semua orang mengenai persekolahannya, namun membatalkannya kerana menyedari  sikap negatif penduduk di situ terhadap pelajaran.

Ayah dan ibu Adit gembira apabila melihat Adit yang mencuba pakaian baru. Malah, ayahnya juga memberitahu bahawa dia sudah bekerja sebagai pembantu balak dengan upah lebih baik daripada hasil memungut hasil hutan. Adit begitu gembira dan dinasihati oleh ibu bapanya supaya menjaga diri dan tidak menimbulkan masalah di sekolah.

Bab 7 Hari Pertama ke Sekolah

Hari pertama ke sekolah, Adit mandi pukul 4 pagi di sungai. Untuk pertama kalinya dia  dijemput oleh Ah Tong dengan jipnya. Dia tiba terlalu awal dan tertidur di depan pintu pagar sekolah. Pak Kassim, pengawal sekolah yang terkejut melihat Adit tertidur, mengajak Adit bersarapan sambil berbicara tentang kesudian Pak Kassim membantu serta hal Akeh.

Di kelas, dia jauh lebih tua berbanding rakan-rakannya dan sering diberi perhatian oleh gurunya kerana tidak tahu membaca dan menulis. Tamat persekolahan, dia bertemu Akeh dan pulang menaiki lori balak Pak Atan.

Adit mula mengejar masa ke sekolah dan meningkatkan prestasi persekolahannya. Adit berpeluang untuk lompat kelas dan menggembirakan gurunya. Walaupun begitu, Adit sering keletihan, kesihatannya terganggu dan semakin kurus, namun, tidak pernah mengeluh.

Bab 8 Dugaan Terus Menimpa

Sudah dua bulan Adit bersekolah, tidak pernah ponteng dan masih menumpang Ah Tong. Namun, pagi itu, Mak Tawi berasa tidak sedap hati. Menjelang petang, Adit tidak pulang lagi sedangkan ayahnya sudah kembali ke rumah.  Menjelang hari semakin gelap, Pak Katan mengadu kepada Tok Batin mengenai hal Adit yang tidak pulang-pulang lalu diarahnya orang-orang kampung mencari Adit. Lima jam pencarian, rupa-rupanya, jip Ah Tong terbabas ke dalam gaung. Adit cedera parah sementara Ah Tong mati di tempat kejadian.

Adit dihantar ke hospital dengan menaiki lori balak, mengalami kehilangan darah yang banyak serta kakinya patah. Di rumah, Mak Tawi yang tertunggu-tunggu bersama Mak Ca didatangi Bong yang memberitahu Adit ditemui dan berada di hospital. Pak Katan menunggu di hospital, menantikan keadaan Adit yang dirawat di bilik ICU. 2 jam kemudian, doktor mengatakan bahawa keadaan Adit yang kian stabil.

Bab 9 Mendung Berarak Pergi.

Dua bulan Adit terlantar di hospital, dijaga ibu bapanya yang dibenarkan tinggal di asrama jururawat. Adik-adiknya dijaga isteri Tok Batin. Dia sembuh, namun kakinya tempang, tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan persekolahan. Kesungguhan Adit ini mendapat perhatian pihak sekolah dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang memberi bantuan dengan menawarkan tempat di asrama, berkongsi katil dengan Akeh. Adit bersetuju dan menumpukan perhatian dalam pelajaran sehingga mendapt tempat pertama.

Enam tahun berlalu, ramai anak orang asli mengikut jejak langkah Adit, rajin bersekolah. Adit melangkah ke sekolah menengah dengan keputusan 3A dalam UPSR. Walaupun ditawarkan ke sekolah berasrama penuh, namun Adit menolaknya  kerana menyedari masalah keluarganya.  Adit berpendapat di mana sahaja boleh berjaya asalkan dia berusaha.

 

 

#komsas, #novel, #tingkatan-1

Kasut Kelopak Jantung

Sinopsis

 

Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan lagi ketika balik dari surau pada malam itu. Hadiah seperti itu sering diterimanya setiap kali menjelang 16 Mei. Hadiah itu telah membuatkan Cikgu Harun mengimbas kembali kenangan silamnya sebagai pendidik di kawasan pedalaman tiga dekad yang lalu. Ketika Cikgu Harun di dalam kelas darjah tiga, beliau pernah menanya Ahmad, bekas muridnya sama ada Ahmad sudah membeli kasut atau belum. Pertanyaan yang sama juga diulangi saban minggu kerana Ahmad tidak mampu untuk membeli sepasang kasut. Cikgu Harun terus mendesak Ahmad sehingga menimbulkan kemarahan Cikgu Harun. Pada suatu hari, ketika aktiviti senaman dijalankan Ahmad didenda memakai kasut yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang kerana Ahmad tidak berpakaian seragam sekolah yang lengkap seperti murid-murid lain. Peristiwa itu telah menyebabkan Ahmad berasa malu dan terus ponteng sekolah hampir seminggu lamanya.

 

Cikgu Harun terpaksa datang ke rumah Ahmad untuk mengetahui sebab Ahmad tidak datang ke sekolah. Setelah menunggu beberapa ketika Ahmad pulang dari kebun dan masih memakai kasut kelopak jantung yang diberikan oleh Cikgu Harun. Kepatuhan muridnya ini dan ketidakmampuannya untuk membeli sepasang kasut menyebabkan Cikgu Harun tidak dapat menahan kesedihannya. Lantas, beliau terus ke pekan untuk membelikan pakaian sekolah dan kasut untuk Ahmad. Sebenarnya, segala memori indah yang dipaparkan antara Cikgu Harun dan Ahmad sudah pun berlalu tiga dekad lamanya. Kini, Cikgu Harun sudah pun bersara dan setiap tahun sempena Hari Guru, beliau akan dihadiahi Ahmad dengan sepasang kasut baharu dan berjenama. Hal ini demikian sebagai mengenang jasa Cikgu Harun kerana Ahmad kini sudah berjawatan pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar. Peristiwa memakai kasut kelopak jantung telah menyedarkan Ahmad betapa pentingnya kasut kepada manusia.

 

 

#cerpen, #komsas, #tingkatan-1