AYAT INTI DALAM BAHASA MELAYU

Ayat inti (bahasa Melayu)

Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda menyatakan “Besi ialah logam”, tiada tafsiran makna lebih daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk mempercepatkan jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.

Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat inti:

  1. Frasa Nama + Frasa Nama
  2. Frasa Nama + Frasa Kerja
  3. Frasa Nama + Frasa Adjektif
  4. Frasa Nama + Frasa Sendi

Frasa ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu patah kata atau rentetan beberapa patah kata yang berfungsi sebagai konstituen dalam ayat, sama ada sebagai subjek, predikat, objek atau keterangan. Frasa tiada subjek dan predikat. Frasa tidak membawa maksud yang lengkap yang boleh dikatakan sebagai satu ayat.

Frasa Nama + Frasa Nama

Contoh:

  1. Zaini jiran saya.
  2. Kami jiran.
  3. Kucing mamalia.
  4. Itu guru.

Kesalahan yang biasa berlaku

Kesalahan yang agak meluas berasal khususnya daripada mereka yang bersikap keinggerisan. Mereka menganggap bahawa perkataan “seorang”, “sebuah”, dan sebagainya harus disisipkan untuk mewakili artikel a dan an dalam bahasa Inggeris. Umpamanya, ayat (1) di atas dianggap tidak lengkap jika tidak ditulis sebagai “Ali seorang guru”. Yang lebih bersikap keinggerisan menganggap ayat yang betul-betul sempurna ialah: “Ali ialah seorang guru.” Mereka menganggap “ialah” sebagai terjemahan kopula seperti is dan are dalam bahasa Inggeris. Jadi timbullah anggapan yang salah bahawa sesuatu ayat itu tidak sempurna jika tiadanya “ialah” ataupun “adalah”.

Walau bagaimanapun, perkataan “adalah” boleh disisipkan dalam ayat jika seseorang hendak menegaskan maksud, umpamanya:

  1. Zaini adalah guru.
  2. Ular adalah reptilia.

Kata “adalah” dalam ayat-ayat itu digunakan apabila timbul keraguan yang dapat dibayangkan dengan adanya pertanyaan yang menggunakan kata adakah seperti:

  1. Adakah Zaini guru?
  2. Adakah ular reptilia?

Kata “adalah” dalam ayat-ayat di atas samalah dengan kata “benarkah?” atau “betulkah?”. Bagaimanapun, ayat yang disertai “adalah” bukan ayat inti lagi.

Frasa Nama + Frasa Kerja

Contoh:

  1. Dia menulis rencana.
  2. Kami berdiri.
  3. Anjig ini menangkap tikus.
  4. Syarikat itu membuka kedai.

Predikat ayat inti untuk pola ini dapat diperluas dengan menggunakan kata bantu yang terbahagi dua:

  1. kata bantu aspek (masa): akan, belum, masih, sedang, sudah, telah;
  2. kata bantu modaliti: boleh, dapat.

Letak kata bantu ialah sebelum kata kerja. Selain itu, predikat untuk ayat ini dapat diperluas dengan menggunakan keterangan seperti: Saya duduk di kerusi. “Di kerusi” ialah keterangan tempat.

Kesalahan yang biasa berlaku

Kata kerja transitif
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata kerja transitif tanpa objek.

Salah  : Syarikat itu membuka di Pulau Pinang
Betul   : Syarikat itu membuka kilang di Pulau Pinang.

Salah : Kami membincangkan tentang masalah itu.
Betul : Kami membincangkan masalah itu.

Kata kerja tak transitif

Satu kesalahan lagi ialah penggunaan kata kerja tak transitif tanpa diikuti kata sendi apabila predikat diperluas.

Salah : Saya sedar perkara itu .
Betul : Saya sedar akan perkara itu.

Salah :Dia masih ingat kejadian itu.
Betul : Dia masih ingat akan kejadian itu.

Frasa Nama + Frasa Adjektif

Contoh:

  1. Dia pintar.
  2. Kami letih.
  3. Gajah itu garang.
  4. Pisau ini tumpul.

Predikat ayat pola ini dapat dluaskan dengan menggunakan kata penguat yang terbahagi kepata tiga jens:

  1. penguat depan: begitu
  2. penguat belakang: sekali, betul
  3. penguat bebas: sangat

Kesalahan yang biasa berlaku

Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata penguat secara berlebihan:

Salah : Dia begitu pintar sekali
Betul : Dia begitu pintar.
Betul : Dia pintar sekali.

Salah : Gajah itu sangat garang betul.
Betul : Gajah itu sangat garang.

Betul : Anjing itu garang betul.

Frasa Nama + Frasa Sendi

Contoh:

  1. Saya ke Kota Marudu
  2. Dia di pejabat.
  3. Kami di kedai.
  4. Vitamin ini untuk adik.

Kesalahan yang biasa berlaku

Kesalahan yang biasa berlaku ialah anggapan bahawa frasa sendi tidak boleh berdiri sendiri tanpa kata kerja. Contohnya, ada orang yang beranggapan bahawa:

  • ayat (1) mesti ditulis: Saya pergi ke Kota Marudu; atau
  • ayat (4) mesti ditulis: Buku ini dibeli untuk adik.

Sebenarnya baik disertai kata kerja atau tidak, ayat-ayat itu betul belaka.

Advertisements