Syair Berbuat Jasa

Maksud Syair

Rangkap 1: Generasi muda disarankan supaya berbuat jasa kerana jasa tetap akan dikenang walaupun sudah tiada.

Rangkap 2: Penyair mengajak supaya berbuat jasa dan menyerahkan semuanya kepada Tuhan kerana setiap jasa yang dicurahkan akan menerima balasan di akhirat sana.

Rangkap 3: Penyair mengingatkan supaya kehidupan janganlah disia-siakan. Sebaliknya, berbuatlah jasa kerana jasa yang baik akan dikenang selama-lamanya.

Rangkap 4: Penyair menyeru agar bersungguh-sungguhlah berbuat jasa supaya segala kebaikan dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

Rangkap 5: Penyair menegah supaya setiap jasa yang ditabur janganlah mengharapkan balasan dan pujian kerana keadaan sedemikian akan menyebabkan timbulnya perasaan tamak.

Rangkap 6: Penyair sekali lagi mengingatkan jangan mengharapkan balasan dan penghormatan memadai jasa yang dicurahkan boleh dimanfaatkan.

Rangkap 7: Penyair mengajak supaya sentiasa berbuat baik walaupun tidak diketahui orang kerana Tuhan lebih mengetahui.

Tema

Kepentingan berbuat jasa.

Persoalan

(a) Keikhlasan dalam melakukan pengorbanan.
(b) Berhati-hati ketika menerima pujian.
(c) Budi yang baik akan berkekalan selama-lamanya. Walaupun orang yang menabur jasa itu sudah tiada lagi di dunia ini, namun jasanya tetap dikenang.
(d) Amal bakti tidak perlu ganjaran.

Bentuk
(a) Bentuknya terikat.
(b) Terdiri daripada tujuh rangkap.
(c) Berisi empat baris serangkap.
(d) Semua baris merupakan maksud.
(e) Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.
(f) Terdiri daripada sembilan hingga dua belas suku kata dalam sebaris.

(g) Rima akhirnya aaaa.
Unsur-unsur Bunyi
(a) Asonansi (pengulangan vokal a). Contohnya: buatlah jasa wahai teruna.
(b) Aliterasi (pengulangan konsonan b). Contohnya: buatlah bakti budi utama.

Gaya Bahasa
(a) Sinkope. Contohnya: tak; mu.
(b) Inversi (ayat songsang). Contohnya: hidup manusia jangan percuma.
(c) Diksi (penggunaan Bahasa Arab). Contohnya: Tuhan Rabbani
(d) Perlambangan. Contohnya: buahnya, sumbu pelita.
(e) Kata ganda. Contohnya: selama-lama, sia-sia, dikaji-kaji.
(f) Repitisi. Contohnya: Pengulangan perkataan ’hidup’ sebanyak 4 kali.

Nilai
(a) Keikhlasan. Contohnya, setiap perbuatan baik dilakukan dengan hati yang ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
(b) Mengenang jasa. Contohnya, jasa baik yang ditabur wajarlah dikenang sepanjang hayat kerana jasa itu memberikan manfaat kepada kehidupan.
(c) Rasional. Contohnya, sikap rasional yang diterapkan dalam diri dapat menjamin kesejahteraan hidup yang berpanjangan.

Pengajaran
(a) Kita haruslah ikhlas dalam melakukan pekerjaan supaya beroleh keberkatan.
(b) Kita hendaklah mengenang jasa orang yang telah menabur jasa kepada kita agar hubungan yang terjalin akan berkekalan.
(c) Kita hendaklah bersikap rasional dengan mempertimbangkan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sebelum mengambil sebarang tindakan.