Kelebihan bayi yang menyusu susu ibu

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kelebihan bayi yang menyusu susu ibu. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kelahiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga diibaratkan sebagai menerima anugerah yang paling berharga. Dalam hal ini, susu ibulah yang dapat dihadiahkan kepada bayi sebagai minuman yang paling mujarab. Susu ibu merupakan susu yang paling baik untuk bayi. Oleh itu, menyusukan bayi sudah diterima sebagai satu kaedah terbaik untuk tumbesaran anak-anak.

Banyak kelebihan apabila seseorang bayi menyusu susu ibu berbanding dengan susu tepung. Antara kelebihan bayi yang menyusu susu ibu ialah bayi dapat bernafas dengan baik semasa menyusu. Oleh itu, otot muka bayi akan lebih kenyal berbanding dengan bayi yang menyusu tepung dengan botol kerana bayi terpaksa menyesuaikan mulutnya dengan bentuk puting botol susu. Kesannya, tulang pipi akan menonjol keluar dan muka bayi akan kelihatan tidak seimbang. Ada juga sesetengah bayi yang alergi kepada susu lembu tepung sehingga boleh menimbulkan masalah kesihatan, perkembangan terbantut dan alahan berbanding dengan kandungan susu ibu yang terbaik untuk pertumbuhan fizikal dan perkembangan emosi bayi.

Penyusuan susu ibu juga memberikan kesan positif terhadap perkembangan rahang. Sekiranya rahang berkembang dengan baik, ruang yang ada dapat ditumbuhi gigi susu. Gigi susu dapat tumbuh dengan cantik seolah-olah bertunas di atas gusi dari tengah ke tepi. Oleh itu wajah bayi akan kelihatan lebih cantik dan menawan.

Dari sudut psikologi pula, penyusuan susu ibu dapat menjalinkan hubungan yang erat antara ibu dengan anak. Selain itu, risiko ibu tidak untuk menghidap penyakit serius seperti barah payu dara dan barah ovari adalah tipis, tambahan pula ibu yang menyusukan bayi juga akan kembali langsing kerana ibu tersebut dapat mengurangkan berat badan dengan lebih mudah selepas bersalin.

Sebenarnya susu ibu sangat berharga dan tidak ada galang ganti. Ibu yang menyusukan bayi sudah tentu dapat menjimatkan wang. Oleh sebab itu, ibu-ibu digalakkan supaya menyusukan bayi masing-masing tanpa ragu-ragu.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud   anugerah yang paling berharga dalam petikan. [2 markah]
  2. Mengapakah menyusu susu tepung menggunakan susu botol tidak baik bagi bayi? [4 markah]
  3. Kini semakin kurang ibu-ibu yang menyusukan bayi. Pada pendapat anda Mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

 

#ringkasan-dan-pemahaman