Kasut Kelopak Jantung

Sinopsis

 

Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan lagi ketika balik dari surau pada malam itu. Hadiah seperti itu sering diterimanya setiap kali menjelang 16 Mei. Hadiah itu telah membuatkan Cikgu Harun mengimbas kembali kenangan silamnya sebagai pendidik di kawasan pedalaman tiga dekad yang lalu. Ketika Cikgu Harun di dalam kelas darjah tiga, beliau pernah menanya Ahmad, bekas muridnya sama ada Ahmad sudah membeli kasut atau belum. Pertanyaan yang sama juga diulangi saban minggu kerana Ahmad tidak mampu untuk membeli sepasang kasut. Cikgu Harun terus mendesak Ahmad sehingga menimbulkan kemarahan Cikgu Harun. Pada suatu hari, ketika aktiviti senaman dijalankan Ahmad didenda memakai kasut yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang kerana Ahmad tidak berpakaian seragam sekolah yang lengkap seperti murid-murid lain. Peristiwa itu telah menyebabkan Ahmad berasa malu dan terus ponteng sekolah hampir seminggu lamanya.

 

Cikgu Harun terpaksa datang ke rumah Ahmad untuk mengetahui sebab Ahmad tidak datang ke sekolah. Setelah menunggu beberapa ketika Ahmad pulang dari kebun dan masih memakai kasut kelopak jantung yang diberikan oleh Cikgu Harun. Kepatuhan muridnya ini dan ketidakmampuannya untuk membeli sepasang kasut menyebabkan Cikgu Harun tidak dapat menahan kesedihannya. Lantas, beliau terus ke pekan untuk membelikan pakaian sekolah dan kasut untuk Ahmad. Sebenarnya, segala memori indah yang dipaparkan antara Cikgu Harun dan Ahmad sudah pun berlalu tiga dekad lamanya. Kini, Cikgu Harun sudah pun bersara dan setiap tahun sempena Hari Guru, beliau akan dihadiahi Ahmad dengan sepasang kasut baharu dan berjenama. Hal ini demikian sebagai mengenang jasa Cikgu Harun kerana Ahmad kini sudah berjawatan pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar. Peristiwa memakai kasut kelopak jantung telah menyedarkan Ahmad betapa pentingnya kasut kepada manusia.

 

 

#cerpen, #komsas, #tingkatan-1