CIKGU BM SMK COCHRANE

Dengan bahasa kita boleh memuliakan sesiapa sahaja. Berbahasalah dengan betul tanpa mengira tempat dan tujuannya.

Punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Catatan: Gejala bermaksud 1. tanda-tanda (akan terjadinya sesuatu), alamat, petanda:  gejala keburukan akhlak kanak-kanak sudah mulai nampak; 2. (Ubat) perubahan dalam fungsi badan seseorang yang menunjukkan tanda-tanda adanya sesuatu penyakit yang berkaitan: gejala demam denggi. Oleh itu, gejala sosial, kurang tepat kerana membawa maksud petanda, alamat atau tanda-tanda sosial.  Yang lebih tepat ialah gejala penyakit/ masalah sosial.

_________________________________________________________________

Penyakit atau masalah sosial dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat hari ini. Malah, gejala penyakit sosial ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong fenomena ini semakin berleluasa.

Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang perhatian daripada ibu bapa, khususnya ibu bapa yang bekerja di bandar. Ibu bapa kini sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka. Akibat kesibukan dan keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka. Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.

Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif tersebut akibat daripada pergaulan bebas  dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa memberi wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang.

Ada segelintir remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, contohnya perceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Remaja yang bergaul dengan rakan yang bersikap negatif juga akan turut bersikap negatif. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah lalu mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh.

Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya boleh memainkan peranan penting untuk membentuk peribadi para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.

Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga patut dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar dapat melibatkan diri dan mengelakkan mereka melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Langkah ini amat perlu kerana semua agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik.

Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.

Bahagian A (ii) Pemahaman

  1. Berikan maksud  tidak mahu mengambil tahu dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membendung gejala sosial dalam kalangan remaja? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, sebagai pelajar dan juga remaja apakah yang patut golongan remaja lakukan untuk mengatasi gejala sosial ini? [4markah]

7 Komentar »

Langkah-langkah untuk menggalakkan kitar semula

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan kitar semula. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Malaysia dianggarkan menghasilkan sebanyak 15 000 tan sampah dalam sehari. Jumlah ini dijangka akan meningkat pada kadar dua peratus pada setiap tahun. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan program kitar semula sebagai satu cara mengelakkan pembaziran wang dan tenaga kerja yang banyak untuk menguruskan sampah yang semakin banyak.

Selaras dengan pelancaran tersebut, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah meletakkan tong-tong kitar semula di tempat-tempat yang sesuai seperti di kompleks beli-belah, sekolah dan pusat perniagaan. Setiap set tong kitar semula terdiri daripada tiga buah tong iaitu tong coklat untuk bahan-bahan kaca, tong biru untuk kertas, serta tong jingga untuk plastik dan logam. Selain dapat mengurangkan jumlah tapak pelupusan sampah, program kitar semula juga bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat.

Apabila tong-tong kitar semula itu penuh, bahan-bahan yang terkumpul akan dibawa ke pusat pengumpulan barang terpakai. Barangan kitar semula yang dibawa akan dinilai dan pusat pengumpulan akan memberikan bayaran kepada syarikat yang membawanya. Pengguna yang membawa barangan terpakai terus ke pusat pengumpulan akan mendapat bayaran yang berpatutan juga. Sehubungan itu, kerajaan telah menawarkan beberapa galakan yang lain seperti pengecualian cukai bagi mesin dan peralatan yang digunakan untuk kitar semula.

Selain pihak kerajaan, pihak swasta digalakkan turut serta dalam rangkaian aktiviti kitar semula. Misalnya, mereka menggalakkan pekilang-pekilang menggunakan bahan kitar semula sebagai asas dalam pembuatan produk mereka. Dalam hal ini, negara dapat juga menjimatkan penggunaan bahan mentah.

Bahagian A(ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud rangkai kata mengambil langkah dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah matlamat-matlamat program kitar semula? [4 markah]
  3. Program kitar semula di negara tidak mendapat sambutan daripada seluruh masyarakat. Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]
6 Komentar »

Kesan-kesan pengambilan minuman beralkohol

Bahagian A (i): Ringkasan (20 markah)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kesan pengambilan minuman beralkohol. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan

Arak adalah sejenis minuman yang beralkohol dan boleh memabukkan. Kandungan gula yang tinggi dalam minuman beralkohol ini juga boleh memudaratkan dan menjejaskan kesihatan si peminum. Oleh itu, agama Islam mengharamkan umatnya minum minuman keras.

Jika wanita hamil minum minuman keras, maka pertumbuhan bayi dalam kandungannya turut terbantut. Risiko bayi mengalami kecacatan atau menghidap penyakit sangat tinggi. Hal ini demikian kerana alkohol yang mengalir ke dalam tubuh si ibu akan memberi kesan kepada fizikal bayi serta menjejaskan kesihatannya.

Sekiranya pelajar yang minum minuman keras pula, mereka tidak mampu mengawal emosi serta hilang keupayaan berfikir. Keadaan menjadi semakin teruk apabila pelajar mula ketagihan minuman keras itu. Masalah tersebut akan merosakkan kesihatan pelajar sekali gus menjejaskan pelajaran dan masa depan mereka. Pengambilan alkohol juga boleh memporak-porandakan sesebuah keluarga jika Jika dalam sesebuah keluarga itu ada pemabuk.

Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk setelah minum arak pula tidak dapat memberikan tumpuan semasa memandu. Perbuatan mereka ini melanggar undang-undang jalan raya serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Akibatnya, kemalangan mudah berlaku dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Oleh sebab minuman beralkohol ini sangat berbahaya, sepatutnya kerajaan mengharamkan penjualan dan pengedarannya di seluruh negara. Jika tindakan ini segera dilaksanakan sudah tentu rakyat dapat menjimatkan wang. Tindakan tersebut juga dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk. Bukan itu sahaja, rakyat Malaysia juga hidup dengan sihat dan produktif kerana bebas daripada alkohol.  Seterusnya, masalah sosial yang berkait rapat dengan minuman keras ini juga dapat diatasi.

Bahagian A (ii): Pemahaman (10 markah)

  1. Berikan maksud hilang keupayaan berfikir dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah kebaikan-kebaikannya jika kerajaan mengharamkan penjualan dan pengedaran arak di seluruh negara? [4 markah]
  3. Masih ramai rakyat Malaysia yang gemar minum minuman beralkohol walaupun mereka mengetahui bahawa minum minuman beralkohol memberi kesan buruk kepada kesihatan. Pada pandangan anda mengapakah keadaan ini berlaku?
5 Komentar »

Kelebihan bayi yang menyusu susu ibu

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kelebihan bayi yang menyusu susu ibu. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kelahiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga diibaratkan sebagai menerima anugerah yang paling berharga. Dalam hal ini, susu ibulah yang dapat dihadiahkan kepada bayi sebagai minuman yang paling mujarab. Susu ibu merupakan susu yang paling baik untuk bayi. Oleh itu, menyusukan bayi sudah diterima sebagai satu kaedah terbaik untuk tumbesaran anak-anak.

Banyak kelebihan apabila seseorang bayi menyusu susu ibu berbanding dengan susu tepung. Antara kelebihan bayi yang menyusu susu ibu ialah bayi dapat bernafas dengan baik semasa menyusu. Oleh itu, otot muka bayi akan lebih kenyal berbanding dengan bayi yang menyusu tepung dengan botol kerana bayi terpaksa menyesuaikan mulutnya dengan bentuk puting botol susu. Kesannya, tulang pipi akan menonjol keluar dan muka bayi akan kelihatan tidak seimbang. Ada juga sesetengah bayi yang alergi kepada susu lembu tepung sehingga boleh menimbulkan masalah kesihatan, perkembangan terbantut dan alahan berbanding dengan kandungan susu ibu yang terbaik untuk pertumbuhan fizikal dan perkembangan emosi bayi.

Penyusuan susu ibu juga memberikan kesan positif terhadap perkembangan rahang. Sekiranya rahang berkembang dengan baik, ruang yang ada dapat ditumbuhi gigi susu. Gigi susu dapat tumbuh dengan cantik seolah-olah bertunas di atas gusi dari tengah ke tepi. Oleh itu wajah bayi akan kelihatan lebih cantik dan menawan.

Dari sudut psikologi pula, penyusuan susu ibu dapat menjalinkan hubungan yang erat antara ibu dengan anak. Selain itu, risiko ibu tidak untuk menghidap penyakit serius seperti barah payu dara dan barah ovari adalah tipis, tambahan pula ibu yang menyusukan bayi juga akan kembali langsing kerana ibu tersebut dapat mengurangkan berat badan dengan lebih mudah selepas bersalin.

Sebenarnya susu ibu sangat berharga dan tidak ada galang ganti. Ibu yang menyusukan bayi sudah tentu dapat menjimatkan wang. Oleh sebab itu, ibu-ibu digalakkan supaya menyusukan bayi masing-masing tanpa ragu-ragu.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud   anugerah yang paling berharga dalam petikan. [2 markah]
  2. Mengapakah menyusu susu tepung menggunakan susu botol tidak baik bagi bayi? [4 markah]
  3. Kini semakin kurang ibu-ibu yang menyusukan bayi. Pada pendapat anda Mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

 

Tinggalkan komen »

Mengapa remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu?

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang mengapa remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu?. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Jika remaja tidak berminat membaca mereka akan ketinggalan tentang perkembangan pesat yang berlaku di dunia pada hari ini. Dunia pada era globalisasi ini adalah bertunjangkan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca, tambahan pula jika mereka hanya membaca bahan bacaan yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahayul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, ilmu mereka tidak akan berkembang.

Remaja perlu membaca bahan-bahan bacaan yang bermutu untuk melatih diri supaya berfikir dan menganalisis. Generasi yang membaca bahan bacaan yang bermutu akan dapat menghasilkan idea-idea yang bermakna untuk diri, masyarakat dan negara. Dalam bahan bacaan yang bermutu terkandung maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja.

Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat, tetapi juga menjadi santapan jiwa.  Bagi mereka, mendapat bahan bacaan yang digemari ibarat mendapat teman yang sangat dikasihi. Kalau remaja rajin membaca bahan bacaan yang bermutu nescaya pada masa hadapan mereka mampu menempa kejayaan dan perubahan yang berguna untuk masyarakat dan negara seperti orang Barat dan Jepun tersebut.

Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil patut didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang bermutu supaya daya pemikiran mereka akan berkembang dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan. Sekiranya remaja membaca bahan bacaan yang tidak bermutu mereka hanya berupaya memikirkan perkara-perkara yang remeh sahaja. Justeru, apabila dewasa mereka tidak akan berupaya menghadapi desakan hidup yang kian mencabar.

Sebagai negara yang sedang menuju tahap negara maju dan berpendapatan tinggi  Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang berminat membaca kerana kemajuan negara banyak bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya supaya kita tidak akan terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan pada era globalisasi yang sedang kita tempuh. Proses memajukan negara harus seimbang dengan darjah kemampuan rakyatnya berfikir.

Bahagian A (ii)

  1. Berikan maksud mampu menempa kemajuan dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah kesan-kesannya sekiranya remaja kita hanya berminat membaca bahan bacaan yang tidak bermutu? [4 markah]
  3. Kebanyakan remaja kita kini kurang gemar membaca. Pada pendapat anda mengapakah  keadaan ini berlaku? [4 markah]
Tinggalkan komen »

Cara-cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan remaja. Hal ini telah menggambarkan betapa seriusnya kejadian jenayah dalam kalangan mereka. Segala jenayah ini dapat dibendung melalui pendekatan yang lebih berkesan, misalnya ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan remaja hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara yang baik dan yang buruk.

Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana remaja mudah terpengaruh dengan kawan-kawan mereka, tetapi kini kebanyakan ibu bapa tidak mengambil peduli dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh hiburan melalui media massa juga hendaklah dibendung.

Pihak sekolah pula perlu memantapkan lagi kawalan disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahan. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, mengambil dadah, atau membuli pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Masalah ini sukar dibendung kerana ibu bapa tidak mahu meluangkan masa datang ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal sebelum masalah anak-anak mereka menjadi semakin serius. Malahan, ada juga antara ibu bapa yang sanggup mengambil tindakan undang-undang terhadap guru-guru jika pihak sekolah mengambil tindakan disiplin terhadap anak mereka.

Masalah ini dapat dibendung jika penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketat, tamsilannya remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori sama seperti pesalah dewasa.

Golongan remaja adalah aset negara pada masa depan.  Kita tidak mahu mereka yang mewarisi negara ini terlibat dengan jenayah.  Oleh itu, mereka  haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa melalui kempen-kempen dan perkhemah motivasi supaya mereka mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.

 

Bahagian A (ii) Pemahaman

  1. Berikan maksud mudah terpengaruh dalam petikan? [2 markah]
  2. Mengapakah masalah jenayah dalam kalangan pelajar sukar dibendung? [4 markah]
  3. Kebanyakan masyarakat kita pada masa tidak mahu mengambil peduli tentang masalah remaja di sekitar mereka.  Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

 

1 Komen »

Kepentingan kokurikulum kepada para pelajar

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan kokurikulum kepada para pelajar. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 

Aktiviti kokurikulum di sekolah dapat memupuk dan membentuk keperibadian unggul seseorang pelajar. Misalnya, melalui kelab dan persatuan pelajar-pelajar dilatih untuk memegang beberapa jawatan penting dan bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang dirancang.

Melalui aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar juga dilatih memahami prinsip-prinsip asas alam pekerjaan yang akan diaplikasi sepenuhnya apabila mereka berada dalam dunia pekerjaaan dewasa nanti. Pendedahan seumpama ini melalui aktiviti kokurikulum membolehkan mereka bertindak dan membuat keputusan yang amat diperlukan oleh seorang pekerja yang berwawasan.

Melalui aktiviti badan beruniform pelajar banyak belajar tentang perkara yang menyentuh soal disiplin seperti kepekaan terhadap masa, keperihatinan terhadap rakan-rakan tanpa mementingkan diri sendiri adalah antara nilai murni yang sentiasa diamalkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Pengelibatan yang aktif dalam kokurikulum menyediakan pelajar untuk menyesuaikan diri dengan corak pembelajaran di institusi pengajian tinggi yang amat berbeza dengan corank pembelajaran di sekolah. Dalam hal ini, pelajar yang tidak aktif dalam kokurikulum berkemungkinan kurang kemahiran berkomunikasi dan lemah dalam membuat persembahan, sedangkan kemahiran tersebut amat  diperlukan dalam sistem pembelajaran institusi pengajian tinggi.

Seseorang pelajar yang kurang aktif dalam kokurikulum cenderung menjadi pelajar yang pendiam, tidak suka bergaul serta hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, apabila mereka berada dalam situasi pembelajaran di institusi pengajian tinggi nanti mereka akan terperangkap kerana pada masa itu jumlah pangkat A yang mereka perolehi di sekolah dahulu tidak lagi menjadi ukuran, tetapi pelajar yang aktif menyertai aktiviti kokurikulum semasa di sekolah akan lebih mudah belajar kerana mereka sudah belajar menyiapkan sesuatu tugasan, memahami pentingnya perpaduan, mudah bertoleransi dan ada kemahiran berfikir dan berhujah.

Justeru, pelajar-pelajar harus melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum, kerana pelajar yang cemerlang ialah mereka yang seimbang dari segi akedemik, mudah  berkomunikasi dan mudah bergaul.

  1. Berikan maksud mudah bertoleransi dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah keburukannya jika seseorang pelajar itu kurang aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah? [4 markah]
  3. Segelintir pelajar malas  menyertai kegiatan kokurikulum? Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku [4 markah]

 

7 Komentar »

Punca-punca berlakunya pembuangan bayi

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca berlakunya pembuangan bayi. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 

Sejak belakangan ini, kes pembuangan bayi semakin serius. Saban hari kita dikejutkan dengan berita-berita pembuangan bayi sama ada yang masih hidup ataupun meninggal dunia ditinggalkan di tempat-tempat tertentu seperti di dalam tong sampah, di dalam tandas, di depan masjid dan di dalam longkang. Pergaulan bebas merupakan punca utama kes ini.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas agama boleh menyebabkan diri mereka terjebak ke dalam kancah maksiat dan impaknya si gadis hamil anak luar nikah.  Sikap golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab membawa titik hitam dalam kehidupan gadis tersebut, lantas gadis yang hamil mengambil jalan mudah untuk mengelakkan rasa malu agar perbuatannya tidak diketahui masyarakat, selain itu perasaan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan lalu membuang bayi tanpa belas kasihan.

Gadis yang terlanjur juga takut dimarahi atau dipulau oleh keluarga akibat keterlanjuran dalam pergaulan. Faktor kemiskinan keluarga yang mempunyai ramai anak sedangkan suami tidak bekerja dan kurang didikan agama juga merupakan antara  punca berlakunya kes pembuangan bayi.

Sudahlah cetek agama, remaja yang cetek pengetahuan dalam pergaulan dan tindakan. Juga mudah terperdaya untuk melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahalakerana mereka mendapat maklumat yang tidak betul tentang cara untuk menyelesaikan masalah ini, sebagai contoh mereka tidak mengetahui terdapat badan sukarela dan agensi tertentu yang menerima bayi tersebut. Sebenarnya perbuatan keji juga ini berlaku kerana sikap masyarakat yang memandang keji mereka yang beranak tanpa berkahwin.

Isu pembuangan bayi amat serius dan perlu ditangani segera. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai moral dan pegangan agama yang utuh dalam kalangan anak-anak untuk membendung masalah ini. Keluarga dan masyarakat harus bersikap membantu mangsa, bukan menambah beban yang ditanggung. Pada waktu yang sama, ibu bapa hendaklah prihatin dengan anak-anak mereka yang meningkat remaja, selain individu itu sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk menjaga tatasusila apabila berhadapan dengan masyarakat.

Bahagian A (ii): Pemahaman

  1. Berikan maksud   menjaga tatasusila dalam petikan? [2 markah]
  2. Apakah tindakan yang patut dilakukan untuk mengatasi masalah pembuangan bayi? [4 markah]
  3. Pelajar sekolah juga antara remaja yang terlibat  dalam kes membuang bayi. Pada pendapat anda mengapakan keadaan ini berlaku? [4 markah]


29 Komentar »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers